Sumpah dalam Bola Sepak, kita baca ulasan di bawah.
1.Bola sepak Malaysia mula dilanda kemelut yang merunsingkan dan membimbangkan dengan beberapa insiden yang tidak sewajarnya berlaku, apabila ianya mula melibatkan istana dan institusi diraja. Bahkan kemelut ini sekarang turut mengheret penggunaan al-Quran sebagai bahan sumpah dalam mempertegaskan kebenaran kata masing-masing.
2. Saya tidak mahu menghuraikan hukum penggunaan mashaf al-Quran dalam sumpah kerana para ulama telah mengulas dengan jelas dalam tulisan-tulisan mereka sebagaimana Al-‘Aini berkata: “Dan di sisiku bahawa kalau bersumpah dengan mashaf al-Quran, meletakkan tangan di atas mashaf atau berkata : Demi Hak kemuliaan Al-Quran!, ia merupakan sumpah terutama pada zaman ini yang banyak berlaku sumpah-sumpah yang buruk dan minat orang awam bersumpah dengan mashaf.”
3. Al-Quran juga menceritakan sifat golongan munafiq yang seringkali bersumpah untuk membenarkan kata-kata mereka sebagaimana firman Allah dalam dalam surah At-Taubah ayat 95-96 : “Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka karena sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. Mereka akan bersumpah kepadamu, agar kamu ridha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu ridha kepada mereka, sesungguhnya Allah tidak ridha kepada orang-orang yang fasik itu.”
4. Bola sepak hanya senaman untuk berhibur dan sukan untuk mengeratkan perpaduan tetapi Mashaf Al-Quran yang merupakan kalam Allah yang mulia digunakan tanpa memberi penyelesaian apa-apa. Pihak yang dianggap mangsa dan pemain yang dianggap saksi mula bersumpah dengan mashaf al-Quran bagi menyatakan kebenaran kata-kata mereka, sedangkan pihak yang didakwa diam dan sepi tersenyum. Sudah pasti, satu-satu pihak telah berbohong dalam sumpahnya dan mula menghina al-Quraan dengan penipuannya, walaupun tidak diketahui pihak mana.
5. Saya bimbang kemelut ini akan mencetuskan perbalahan dan sengketa yang lebih parah dengan cetusan membara dendam kesumat. Di samping itu, kerisauan berulang tragedi itu terhadap pasukan-pasukan lain yang bertandang di Johor menjadikan sukan bola sepak tidak aman dan selesa. Apakah Menteri Besar Terengganu tidak menyakini siasatan yang dibuat oleh pihak berkuasa terhadap insiden yang berlaku? Adakah Menteri Besar Terengganu sudah menjangkakan bahawa pihak istana Johor yang terlibat akan terlepas dan bebas ? Kenapa insiden ini berlaku dengan melibatkan institusi yang dihormati ? Apakah tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam menyelesaikan kemelut ini ? Kemelut bola sepak yang mengundang krisis keyakinan terhadap sistem keadilan negara, ketelusan pihak keselamatan dan boleh mencetus huru hara antara penyokong-penyokong.
6. Oleh itu saya menyeru agar semua pihak melihat bolasepak ini adalah sebagai satu bentuk perpaduan sesama rakyat Malaysia. Kita yang sudah ketinggalan jauh berbanding negara-negara Asia lain dalam ranking FIFA sepatutnya bersatu bagi mencapai impian kita bagi memajukan bolasepak negara dan bukan dengan perbalahan demi perbalahan yang didalangi pihak tertentu yang akhirnya akan menghancurkan sukan ini. Dan yang paling utama saya berharap agar sumpah menggunakan al-Quran ini tidak lagi diulangi dimasa depan agar kita tidak mencemari kesucian al Quran yang sepatutnya kita mengambil faedah-faedah di dalamnya untuk diamalkan dalam kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment