Saturday 12 March 2016

BAWAK DIRI KE MANA??

AWAK kat mana? Ibarat lagu popular oleh Taufik Batisah, misteri kehilangan Datuk Seri Ahmad Said dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu menjadi tanda tanya kebanyakan pihak.

Sidang DUN itu disambung semula setelah ditangguhkan awal petang Selasa susulan kekecohan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akhirnya gagal dikemukakan beliau.
Menurut portal berita AgendaDaily, bukan sahaja pihak media malah semua orang tercari-cari di manakah kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kijal yang juga bekas Menteri Besar Terengganu ini ‘bawa’ diri.

Apa tidaknya, Ahmad, 56; tiba-tiba menjadi sensasi seluruh Malaysia apabila membuat kejutan pagi Selasa dengan nekad mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif, 50; yang juga ADUN Seberang Takir.

Ibarat kata angin tiada, ribut tiada, hujan pun tiada, beliau lempar ‘bom’ ke dalam kubu sendiri dalam sidang itu walhal menjelang sidang DUN itu langsung memang tidak kedengaran apa-apa kontroversi politik di negeri itu.
Usul tergempar itu bagaimanapun ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Mohd. Zuber Embong kerana ia dikemukakan tanpa notis minimum selama dua minggu sekali gus tidak mematuhi peraturan untuk mesyuarat tersebut.
Tindak tanduk Ahmad berjaya mencuri perhatian kerana perbezaan kerusi di DUN Terengganu antara wakil rakyat kerajaan dengan wakil rakyat pembangkang cuma dua orang. BN ada 17 kerusi, manakala PAS 14 dan PKR 1.


No comments:

Post a Comment